Tuesday, 8 May 2012

Layak ke piala dunia!!


MALAYSIA melayakkan diri ke pentas Piala Dunia Remaja 2013 New Delhi apabila muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Jepun 3-1 pada Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka, malam tadi.
Kemenangan itu melengkapkan rekod tanpa kalah negara selepas menewaskan Iran 6-1 dan Korea Selatan 6-3.


Skuad negara akan menentang India di separuh akhir manakala Pakistan berdepan Korea Selatan.
Kemenangan sukar skuad muda negara bermula dengan aksi garang Jepun meledak jaringan pendahuluan seawal minit keempat menerusi gerakan padang menarik Mori Yohei.


Gol itu merentap seketika barisan Muhammad Dharmaraj Abdullah untuk bangkit memburu jaringan penyamaan selepas menyedari kesungguhan lawan menafikan kemenangan skuad negara.


Malaysia hanya menunggu 10 minit selepas itu untuk menyamakan kedudukan menerusi sentuhan kapten, Muhamad Nur Faeez Ibrahim pada m-14 menerusi gerakan sudut penalti.
Perlawanan yang disaksikan lebih 5,000 peminat nyata rancak dan mendebarkan melalui percubaan agresif barisan negara.


Namun kekebalan penjaga gol Jepun, Kusanagi Kazuki yang berjaya mempertahankan banyak percubaan penyerang negara akhirnya lebur juga.
Muhamad Syamim Mohd Yusof dan Faizal Saari memastikan kemenangan dengan dua gol pada m-57 dan m-67.


Pada perlawanan terdahulu, India menang tipis 2-1 ke atas China, manakala Pakistan membelasah Sri Lanka 14-0 dalam saingan Kumpulan B.


No comments:

Post a Comment